Isnin, 5 Januari 2009

Di bawah bendera apakah umat Islam dapat berjihad ?

Jihad melibatkan darah dan nyawa, ianya bukanlah sesuatu yang dilakukan sekadar suka-suka sebaliknya memerlukan kepada perancangan rapi dan keyakinan yang tinggi. Justeru satu soalan penting amat perlu dikemukakan oleh setiap watak yang berakal sebelum memulakan pengembaraan ke medan jihad iaitu di bawah bendera apakah dia akan berjihad ?

Sejak zaman permulaan Islam lagi sejarah telah menunjukkan penyelewengan berlaku terhadap umat Islam disebabkan oleh sifat ghulu (melampau) dan mengakibatkan perpecahan yang banyak kerana wujud golongan yang menyimpang daripada ajaran Islam yang dibawa oleh rasulullah dan menjadikan jihad sebagai satu usaha mengembangkan fahaman sesat mereka.

Termasuk kumpulan yang sesat dan ditolak oleh ulama Islam ialah Syiah. Keterangan lanjut boleh didapatkan daripada buku Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah yang diterbitkan oleh JAKIM pada tahun 1996. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia mewartakan fahaman Syiah dikategorikan sebagai ajaran sesat pada 5 Mei 1996.


Jihad merupakan usaha menegakkan agama Islam dan membela umat Islam daripada kezaliman dan kewajipan jihad jelas termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh yang demikian, perjuangan jihad hanya diiktiraf sekiranya golongan yang melaksanakan jihad ini benar-benar melaksanakannya dengan berpandukan kepada kitab Al-Quran dan As-Sunnah.

Mereka yang berjihad dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan mengibarkan bendera Al-Quran dan As-Sunnah inilah yang wajib disertai oleh umat Islam di dalam usaha menegakkan jihad ke atas Israel dan musuh Islam. Fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah (disebut sebagai Sunni atau digelar sebagai nasibi oleh puak Syiah) sahaja yang beraqidah, bertauhid dan beriman dengan Allah dan rasul menurut kefahaman yang diajari oleh rasulullah dan para sahabatnya serta kefahaman ini terpelihara daripada penyelewengan dan kesesatan.

Berdalilkan kepada hadis riwayat Ibnu Umar yang bermaksud : “ Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan umatku pula akan berpecah kepada 73 golongan dan kesemuanya akan berada di dalam neraka kecuali satu golongan.” Maka para sahabat bertanya siapakah golongan yang terselamat wahai rasulullah ? Maka baginda menjawab : “Golongan yang aku dan sahabatku berada di dalamnya.” (Hadis Hasan, riwayat Tirmidzi no. 26, Hakim dan lain-lain)

Kita semua mengetahui para sahabat memahami agama dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah serta mewariskan kefahaman agama mereka kepada anak-anak mereka (tabien) dan seterusnya para ulama’ Ahlul Sunnah Wal jamaah yang mewarisi kefahaman agama ini daripada rasul dan sahabat melalui rujukan Al-Quran dan As-Sunnah.



Firman Allah swt yang bermaksud : “Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan jihad yang besar.” (Al-Furqan : 52)

Maka jawapan kepada persoalan di bawah bendera apakah sewajarnya umat Islam berjihad ialah satu sahaja iaitu bendera tauhid (Aqidah) yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar dan rujukan.

Kesimpulannya setiap umat Islam wajib memastikan dia berada di bawah bendera yang benar dan didasari oleh Al-Quran dan As-sunnah serta menepati ajaran Islam yang dibawa oleh rasul dan sahabat. Nyawa dan darah tidak harus digadaikan hanya semata-mata semangat dan keyakinan buta tanpa ilmu sehingga tersesat ke dalam neraka akibat kejahilan dan godaan syaitan.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan